NOVEMBER 2024

Tuntutan Sarawak, Sabah Terhadap Royalti Minyak Dan Kerusi Parlimen Dibincang


KUALA LUMPUR: Tuntutan Sarawak dan Sabah mengenai pemberian khas, sempadan laut dan bayaran royalti minyak, setem serta satu pertiga kerusi Parlimen telah dibincang September lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini telah dibincang dalam mesyuarat Majlis

Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusi Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dipengerusi beliau. 

Katanya, mesyuarat tersebut telah bersetuju dan memutuskan antaranya  Kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak RM600 juta diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mulai 2025.

"Ini supaya  tuntutan melibatkan Mineral Minyak dan Medan Minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), Hak Negeri Ke Atas Pelantar Benua dan Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum dibincang oleh kepimpinan peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam  penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar di Parlimen di sini.

Fadillah berkata, selain itu turut dipersetujui dan diputuskan ialah supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tuntutan  pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak dari sudut perundangan.

Di samping itu, tuntutan mengenai duti setem dibincangkan dalam forum berasingan memandangkan ia melibatkan tafsiran undang-undang dan memerlukan penelitian semula oleh pihak-pihak berkenaan, katanya.

Sementara itu, Fadillah menjelaskan, sebanyak 11 tuntutan yang dibincang di bawah MTPMA63 selesai sepenuhnya.

Katanya, tujuh tuntutan di bawah Kerajaan MADANI dan empat di bawah kerajaan terdahulu.

11 Tuntutan selesai sepenuhnya:

i) di bawah Kerajaan MADANI (tujuh tuntutan)

ii) di bawah Kerajaan terdahulu (empat tuntutan)

b) Dua tuntutan selesai sebahagian/ interim.

c) Tiga tuntutan telah mempunyai keputusan dasar.

d) Lapan tuntutan dalam perbincangan.

e) Manakala, lima tuntutan masih belum dapat diputuskan dan perlu dirujuk untuk perbincangan peringkat tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) berkata, tuntutan berkaitan pelaksanaan MA63 merupakan antara agenda yang diberi penekanan utama Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10.

"Ini adalah untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada," katanya.